RaPuH

Opick - Rapuh

detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu

Monday, June 30, 2008

Solat sunaT

Firman Allah SWT terhadap orang yang memperbanyakkan solat sunat.

Allah SWT berfirman ( dalam hadith qudsi ).”sesiapa yang memusuhi wali-waliku maka aku akan diistiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun kepadanya. ( yakni, penghampiran kepada Allah SWT paling banyak dapat dihasilkan dengan menunaikan segala amalan yang fardhu). Dengan perantaraan amalan sunat seseorang hamba itu akan berterusan dapat menghampiriku sehingga aku menjadikannya kekasihku. Kemudian aku akan menjadi telinga yang mendengar dengan telinga itu. Aku akan menjadi matanya yang melihat mata itu. Aku akan menjadi tangannya yang dia memegang dengan tangan itu. Aku akan menjadi kakinya yang berjalan dengan kaki itu. Sekiranya dia meminta sesuatu daripadaku pastiku tunaikan dan sekiranya dia meminta perlindungan daripadaku terhadap sesuatu, pasti aku akan melindungi.” ( Jam’ul Fawaid).

Keterangan

Maksud “ menjadi mata dan telinga…”ialah penglihatan, pendengaran dan pergerakannya akan mengikut kesukaan Allah SWT dan tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku bertentangan dengan keredaan Allah SWT.

Alangkah bertuahnya mereka yang mendapat taufiq dan hidayah untuk memperbanyakkan amalan sunat setelah menunaikan amalan fardu dan seterusnya mendapat kelebihan ini. Semoga Allah SWT. Dengan limpahannya, mengurniakan kelebihan ini kepada saya dan rakan saya.

Sunday, June 29, 2008

faktor yang menghadirkan rasa takut kepada Allah SWT.


Ada empat factor yang menghadirkan rasa takut kepada Allah SWT pada diri seorang hambanya yang beriman. Apabila dia mengingati dan merenungkan keempat-empat perkara ini, dia akan memperolehi kelembutan hati dan akan mengingati janji dan pertemuan dengan Allah SWT.

Faktor pertama: ziarah ke kubur, kerana di sana terdapat anak-anak, cucu-cucu dan nenek moyang. Disana juga terdapat para kekasih, teman dan sahabat. Oleh kerana itu, rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,” ziarahlah ke kubur, kerana dia akan mengingatkan kepada kematian

Oleh itu salah seorang salafus shalih ( iaitu : Muhammad bin Wasi’) berkata: saya melalui disebuah kawasan kubur dan berkata: “laa iilahaiIIaIIah..Muhammad rasulullah.”Tiba-tiba saya mendengar suara dari kubur tersebut berkata: “wahai Muhammad bin Wasi’, bekalilah dirimu dengan kalimah itu. Demi Allah, jika kamu mengetahui pahalanya, kamu akan mengucapkannya pada setiap nafasmu. Sesungguhnya kami sudah terhalang daripada kalimah Laa illaha illallah,kami tidak mampu lagi mengucapkannya.”

Sesungguhnya amal perbuatan sudah terputus dan hanya amal soleh seperti solat, puasa, sedekah,budi pekerti yang mulia dan amal kebajikan yang sentiasa dekat dan berguna di sisi Allah SWT.

Faktor kedua : selalu mengingati kematian, samada di pagi hari mahupun di petang hari. Bahkan ketika berbaring di tempat tidur.

Fatimah binti Abdul Malik, isteri kepada khalifah Umar bin abdul Aziz berkata: Apabila Umar hendak berbaring ke tempat tidurnya, dia menggigil seperti burung kedinginan. Saya bertanya: Wahai Amirul Mukminin kenapa tuan belum tidur lagi? Beliau menjawab:’ Bagaimana mungkin saya boleh tidur, sesungguhnya katil ini mengingatkan aku kepada kubur.”

Faktor ketiga: Selalu mengingati bahawa azab Allah SWT sangat pedih.Jika Allah SWT mengazab hambanya, dia tidak mengasihinya sedikitpun.

Oleh kerana itu kahlifah Umar Al-Khatab dalam suratnya kepada para gabenornya, berkata: “ketahuilah, bahawa seksa Allah sangat pedih, apakah kamu telah melupakannya.

Faktor keempat: Sentiasa waspada terhadap pandangan Allah SWT.

Ibnu Taimiyah berkata:’Hati adalah rumah Allah. Rumah ini tidak akan baik, tidak akan kukuh dan tidak akan berkata jujur kepada Allah, melainkan kamu memperhati dan menyedari bahawa Allah SWT selalu melihatmu.”

Inilah salah satu factor yang penting dan utama untuk menimbulkan rasa takut kepada Allah SWT.. iaitu hendaklah seorang mukmin memperhati dan menyedari bahawa pandangan dan pengawasan Allah SWT sentiasa menyertainya di mana sahaja. Rasulullah SAW bersabda: “ Apabila kamu tidak melihatnya, sesungguhnya dia melihatmu.” ( Al-Bukhari dan Muslim).

Friday, June 27, 2008

Ujian menganGkat MartabaT


Akhirnya kita sedar dan insaf bahawa memang rasa sedih atau dukacita itu fitrah manusia. Namun yang salah ialah apabila kita sedih dengan benda yang tidak perlu kita sedihkan.Sedih kerana tak dapat sesuatu, sedih kerana kehilangan sesuatu, sedih kerana tak dapat mengejar dunia, sedih kerana tak dapat berhibur, sedih kerana orang yang kita saying telah hilang.

Perkara tersebut tidak perlu kita sedihkan. Namun kita sepatutnya sedih apabila kita kehilangan iman, kita kehilangan petunjuk atau hidayah Allah SWT.Ketahuilah bahawa setiap apa yang kita lalui dalam bentuk musibah, adalah ujian. Dan ujian itu untuk mengangkat martabat kita.

Kita lihat bagaimana anak kita melalui ujian dalam peperiksaan dalam pengajian mereka. Anak kita hanya akan dapat dinilai kemampuannya, kebolehannya setelah melalui ujian. Setelah menduduki UPSR maka dia layak untuk naik ke tingkatan 1. setelah diuji dengan PMR dia layak untuk naik ke tingkatan 4. Diuji dengan SPM maka dia layak untuk masuk ke university.

Dan begitulah ujian demi ujian dilalui oleh anak-anak kita dibangku sekolah, untuk melihat kemampuan mereka, keupayaan mereka dan untuk diukur martabat, darjat ketinggian mereka

Kita juga akan diuji oleh Allah SWT. Kita diuji dengan kehilangan harta, kita diuji dengan kehilangan anak-anak, kehilangan isteri, kehilangan suami, ayah, ibu. Kita diuji dengan kesakitan, kita diuji dengan musibah, bencana, apapun yang berlaku, banjir dan apa pun. Setiap ujian itu,yakinlah, Allah ingin melihat kualiti kita yang sebenarnya. Pastikan kita lulus ujian Allah. Tidak pernah mengeluh di hati kita.tidak pernah menyalahkan takdir Allah. Tidak pernah mengutuk takdir Allah. Malah kita sentiasa menghampirkan diri kepada-nya.Innaa lillaahi wainnaa ilaihiraaji’uun.

Marilah dengan khusyuk dan tunduk hati kepada Allah SWT, kita sedar dan insaf bahawa kesedihan ada batasnya, kedukaan ada garis panduannya.bersedihlah saudaraku sekalian jika kita tidak dapat mempertahankan hidayah atau petunjuk oleh Allah SWT.


Tuesday, June 24, 2008

Dosa dalah beban


Setelah kita meluahkan hati kita kepada Allah, setelah kita melepaskan segala yang terbuku di hati kita kepada Allah, kita terasa lega, kita rasa lapang, seolah-olah beban yang berat yang kita pikul selama ini terlepas.

Dosa adalah beban. Dan bila kita bertaubat kepada Allah, beban itu terlepas daripada kita. Itulah nikmat bertaubat. Firman Allah swt:

Bermaksud:

“segeralah mendapatkan keampunan tuhanmu, seluas langit dan bumi, ( saudara.. keamapuanan tuhan seluas langit dan bumi ) disediakan untuk orang-orang bertakwa. ( siapa orang-orang yang bertakwa itu ? orang yang bertakwa ialah, mereka yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, orang yang menahan marah, orang yang memaaf. Dan Allah suka kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.

(siapa pula orang yang melakukan kebaikan? Siapa pula golongan muhsinin? “ ialah mereka yang bila melakukan kesalahan,( bila melakukan dosa), mereka ingat kepada Allah. Bila mereka menzalimi diri mereka,( bila mereka menganiaya diri mereka dengan dosa-dosa), mereka segera ingat kepada Allah dan mereka mohon ampun kepada Allah.

“(kemudian Allah bertanya), siapakah yang mnengampunkan dosa selain Allah? ( Siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah? Dan mereka tidak kekal dalam dosa, walhal mereka mengetahui.” ( Aali Imran 3:133-135)

Kesedihan akan hilang apabila kita telah mohon ampun kepada Allah SWT. Namun yang tinggal ialah keresahan, kerisauan, apakah kita boleh kekal dalam iman, apakah kita boleh kekal dalam islam dan apakah kita boleh kekal dalam melakukan amal-amal kebajikan?

Kita harus sedih, kita harus dukacita apabila kita tidak dapat mempertahankan keimanan kita. Lantas Rasulullah saw bersabda: “Di akhir zaman nanti ada orang yang akan beriman diwaktu pagi namun kufur diwaktu petang, dan ada orang yang beriman diwaktu petang dan kufur diwaktu pagi.

Tergamak kah kita untuk masuk golongan tersebut?

Kalau kita ingin bersedih, bersedihlah jika kita kehilangan iman. Iman itu mutiara. Ia amat berharga. Malah lebih lagi dari mutiara. Iman adalah hidup kita. Tanpa iman siapalah kita disisi Allah SWT? Tanpa iman, di mana letaknya kita sebagai hamba Allah? Berapa lama kita ingin hidup di dunia ini? Seratus tahun? 200 tahun ? atau 1000 tahun ? tidak mungkin!!

Kita datang dari Allah, kita akan kembali kepada Allah. Kullu nafsin zaa-iqatul maut.” Tiap yang bernyawa pasti akan mati.”

Dan apabila kita mati, apakah pula nasib kita bila bertemu dengan Allah SWT.?

Wal tanzur nafsun maa qaddamat li-qad, “setiap jiwa melihat apa persiapan untuk esok.” ( Al-Hasyr 59:18 )

Esok adalah hari kita bertemu dengan Allah. Esok apabila jasad kita diletak dalam liang lahad, yang tua, yang muda, serupa. Yang tua akan masuk ke dalam liang lahad, yang muda akan masuk ke dalam liang lahad. Tidak ada siapa yang kekal di dunia ini. Persiaplah!! Bekal untuk esok. Dan kita harus bersedih sekiranya bekal itu belum kita siapkan lagi.

Kita khuatir, dalam kita mengejar dunia ini, dalam kesibukan kita mengejar harta, pangkat, kamsyuran dan sebagainya-kenikmatan, keseronokkan dan apa pun yang dicari, kita lupa mempersiapkan bekal untuk berpindah kea lam barzakh. Apa nasib kita? A syaqiyun am sa’iid? Apakah kita derita atau gembira?

Monday, June 23, 2008

" Tuhan, aku tidak layak masuk syurga-mu, namun tidak upaya jika kau campak kedalam api neraka-Mu. Terimalah taubatku ya Allah. Ampunkan dosa-dosaku. Hanya kau tuhan yang mengampunkan dosa-dosa besar".

Sunday, June 22, 2008

KesaLaHan



Apakah pernah anda dilanda kesedihan, kegelisahan, akibat dosa? Ya, Dosa. Kita melakukan kesalahan. Tidak ada manusia yang terlepas dari melakukan kesalahan.

“setiap Bani Adam melakukan kesalahan dan yang terbaik antara mereka ialah yang mahu bertaubat.”

Terkadang kesalahan kita itu terlalu mencengkam perasaan kita. Akhirnya kita bersedih. Ada orang begitu murung, sedih, tak boleh nak buat apa, kerana kesalahan yang menghantui fikirannya. Dia melakukan dosa kepada emak-bapanya, dia berdosa kepada adik-adiknya, dia berdosa kepada gurunya, dia berdosa mungkin kepada jirannnya, kepada sahabatnya, kepada sesiapa sahaja.

Apakah ada dosa lebih besar selain dosa kita kepada Allah, Rabbul Jalil?

Tapi mengapa harus bersedih? Bukankah Allah maha pengasih maha penyayang? Bukankah Allah Ghafuur? Bukankah Allah Ghafaar? Bukankah Allah tauwaab?

Allah maha pengampun, Allah penerima taubat. Berlapang dada kepada Allah SWT. Ya benar kita buat dosa, kita buat salah, tapi Allah sentiasa menanti kehadiran kita, untuk menerima taubat kita.
"wahai orang-orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.”

( at-taharim 66:8 )

Dengarlah seruan Allah!! Allah menyeru kita yang berdosa ini : wahai hamba-ku, wahai manusia, bertaubatlah. Wahai orang beriman, bertaubatlah.”

Allah mengajak kita untuk bertaubat. Apakah tidak terdetik di hati kita untuk menlyahut seruan Allah? Marilah kita sahut seruan taubat.

Thursday, June 19, 2008

SediH Kerana masalah


Allah benar janjinya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala. Kalau kita ukur-banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah beri kepada kita.

“kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya.”

( Ibrahin 14:34 )

Mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang di sekitarmu. Apa yang kurang ? Tidak ada apa yang kurang,Rumah,kereta,isteri,anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja kurniaannya. Bukankah itu tandanya Allah mungkin menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik ? Allah tarik sesuatu untuk Allah beri sesuatu yang lain. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah , bahwa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.

“Jangan takut, janganlah berdukacita.” ( Al-‘ankabut 29:33 )

Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa. Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya. Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah? Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah. Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini. Masalah yang besar yang akan tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan. Anak kita nakal, anak kita degil , anak kita tak mendengar cakap, anak kita suka melawan dan sebagainya. Bukankah itu mengajak kita untuk berusaha berjihad mendidiknya!! Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT.

Ya. Katakanlah anak kita suka melawan, anak kita tidak dengar cakap, degil. Lantas kita berusaha untuk mendidiknya, untuk mengajarnya, untuk mengasuhnya dengan yang terbaik. Kita beroleh pahala oleh Allah SWT.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dubia ini daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan, dengan iblis? Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sdentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat. Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs-melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis bersumpah dengan Allah swt bahwa dia akan mengganggu Bani Adam, dia akan menggoda Bani Adam, dia akan menyesatkan Bani Adam. Mereka akan berusaha melakukan itu secara berterusan, sejak kita kecil, dewasa hingga kembali kepada Allah swt. Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita. Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan.